|
|
PERLEMBAGAAN KELAB SUKAN KOMUNITI
BETING MARO
FASAL 1. NAMA
Kelab ini dikenali sebagai Kelab Sukan Komuniti BETING MARO atau
ringkasnya BMSCC di dalam Perlembagaan ini.
FASAL 2. ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN
2.1 Alamat Berdaftar
Alamat berdaftar Kelab Sukan Komuniti BETING MARO ialah di PEJABAT
DAERAH KECIL PUSA, 94950, PUSA.
2.2 Alamat Urusan
Alamat Urusan Kelab Sukan Komuniti BETING MARO ialah di PEJABAT DAERAH
KECIL PUSA, 94950, PUSA.
2.3 Alamat berdaftar dan alamat urusan ini tidak boleh diubah tanpa
kelulusan Jawatankuasa Induk dan hanya boleh dikuatkuasakan setelah
mendapat kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
FASAL 3. DEFINISI
3.1 KELAB bermakna Kelab Komuniti BETING MARO.
3.2 MESYUARAT AGUNG TAHUNAN bermakna mesyuarat yang wajib diadakan oleh
Kelab ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam fasal 11.2
Perlembagaan ini.
3.3 JAWATANKUASA INDUK bermakna Jawatankuasa Induk bagi Kelab seperti
yang disebutkan dalam fasal 14 Perlembagaan ini.
3.4 JAWATANKUASA bermakna Jawatankuasa yang sah dibentuk atau dilantik
di bawah Perlembagaan ini mengikut fasal 16.
3.5 PEJABAT bermakna alamat urusan kelab seperti yang ditetapkan dalam
fasal 2 Perlembagaan ini.
3.6 AHLI KELAB bermakna ahli seperti yang disebut dalam fasal 6
Perlembagaan ini.
3.7 PESURUHJAYA bermakna Pesuruhjaya Sukan yang dilantik di bawah
Seksyen 10 Akta Perlembagaan Sukan 1997.
FASAL 4. OBJEKTIF DAN MATLAMAT
4.1 Untuk menggalakkan dan membangunkan PELBAGAI sukan di peringkat
Kelab.
4.2 Untuk mengekalkan hubungan baik dan kedudukan baik dengan semua
badan pengelola dan pengawalseliaan daerah, negeri dan kebangsaan.
4.3 Untuk memastikan bahawa Perlembagaan dan kaedah-kaedah Kelab
dipatuhi dan diikuti oleh semua ahli.
4.4 Untuk menjalankan aktiviti tanpa diskriminasi tentang jantina, ras,
warna kulit, agama, asal usul, bahasa, kecenderungan politik atau
apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh anggota.
4.5 Untuk memastikan akaun teraudit sepenuhnya serta laporan tentang
segala aktiviti, penggunaan dan perbalanjaan semua wangnya bagi tahun
kewangan Kelab sebelumnya, dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan berserta
dengan apa-apa laporan lain yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Sukan.
4.6 Untuk memastikan prosedur pemilihan bagi ahli sukan, pegawai,
jurulatih dan mana-mana orang lain untuk mewakili Kelab dalam PELBAGAI
sukan adalah terbuka dan adil.
4.7 Untuk mewakili Kelab dalam mana-mana pertandingan PELBAGAI sukan.
4.8 Menjalankan sebarang kegiatan amal atau sebarang jenis perniagaan
untuk tujuan menambah kewangan Kelab, asalkan tidak bercanggah dengan
undang-undang negara.
4.9 Semua wang keuntungan yang didapati oleh Kelab daripada
penyertaannya dalam mana-mana perniagaan atau pelaburan akan digunakan
semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan objektif dan
matlamat Kelab ini. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang
sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk membayar gaji
atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja
Kelab ini. Kelab juga boleh menubuhkan Badan Perniagaan dan boleh
memiliki harta benda dengan syarat keuntungan hendaklah dimasukkan dalam
Tabung Kewangan Kelab.
FASAL 5. KEAHLIAN
Keahlian Kelab ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan terbahagi
kepada tiga (3) kategori seperti berikut.
5.1 Ahli Biasa
Individu-individu yang berumur lapan belas (18) tahun ke atas dan telah
diterima keahliannya oleh Jawatankuasa Induk dan boleh mengundi serta
diundi.
5.2 Ahli Kehormat
Individu-individu yang pernah berjasa kepada Kelab atau
individu-individu yang boleh memberi sumbangan kepada Kelab yang
dilantik oleh Jawatankuasa Induk.
5.3 Ahli Remaja
Individu-individu yang berumur lapan belas (18) tahun ke bawah dan mesti
mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga serta
diluluskan oleh Jawatankuasa Induk.
FASAL 6. YURAN KEAHLIAN
6.1 Setiap ahli baru hendaklah membayar yuran pendaftaran dan tahunan
kepada Kelab seperti berikut.
Bil.
Jenis Ahli Yuran Pendaftaran Yuran tahunan
1. Ahli Biasa RM RM
2. Ahli Kehormat RM RM
3. Ahli remaja RM RM
6.2 Yuran tahunan hendaklah dibayar tidak lewat dari 1 Februari
tiap-tiap tahun kepada Bendahari. Sekiranya yuran itu tidak dibayar,
ahli yang berkenaan tidak boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan
tidak boleh mengundi dan diundi.
6.3 Sekiranya yuran tahunan tidak dijelaskan dalam tempoh satu (1) tahun
tanpa alasan yang munasabah, Jawatankuasa Induk berhak membatalkan
keahlian ahli yang berkenaan.
6.4 Sekiranya ahli yang telah dibatalkan keahliannya ingin menjadi ahli
semula, beliau dikendaki untuk mengemukakan permohonan baru denagn
menyertakan bayaran yuran pendaftaran, yuran tahunan dan penalti
sebanyak RM __________. Permohonan tertakluk kepada kelulusan
Jawatankuasa Induk.
FASAL 7. PERMOHONAN UNTUK MENJADI AHLI
Semua permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dibuat secara bertulis
dengan mengisi borang dan dikemukakan kepada Setiausaha. Jawatankuasa
Induk boleh meluluskan atau menolak sebarang permohonan tanpa memberi
alasan.
FASAL 8. KEISTIMEWAAN DAN HAK AHLI
8.1 Tiap-tiap ahli Kelab dibenarkan menyertai dalam segala kegiatan yang
dianjurkan oleh Kelab ini.
8.2 Setiap ahli Kelab berhak menerima dengan percuma satu salinan
Perlembagaan Kelab sekali sahaja semasa pendaftaran.
FASAL 9. HAK MENGUNDI DALAM MESYUARAT AGUNG
TAHUNAN
9.1 Ahli Biasa
Semua ahli biasa yang membayar yuran tahunan sebelum 1 Februari tahun
tersebut adalah berhak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan
boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut.
9.2 Ahli Kehormat
Semua Ahli Kehornmat boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan tetapi
tidak boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut.
9.3 Ahli Remaja
Semua Ahli Remaja yang membayar yuran tahunan sebelum 1 Februari tahun
tersebut adalah berhak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan tetapi
tidak boleh mengundi dan diundi dalam mesyuarat tersebut.
FASAL 10. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
10.1 Mana-mana ahli Kelab yang membuat permohonan bertulis untuk
berhenti menjadi ahli dan permohonannya itu diluluskan oleh Jawatankuasa
Induk adalah dianggap sebagai telah berhenti menjadi ahli Kelab.
10.2 Setiap ahli Kelab yang didapati menjalankan sesuatu kegiatan yang
bertentangan dengan Perlembagaan Kelab bolehlah dipecat atau digantung
keahliannya bagi sesuatu tempoh masa sebagaimana yang difikirkan
munasabah oleh Jawatankuasa Tatatertib. Sebelum tindakan sedemikian
diambil, ahli itu hendaklah diberikan peluang untuk membela diri.
Pemecatan atau pegantungan itu hendaklah berkuatkuasa dari tarikh yang
ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib. Ahli yang berkenaan boleh
mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Induk dalam tempoh masa empat
belas (14) hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Tatatertib.
Jawatankuasa induk mempunyai kuasa samada untuk menerima, menolak atau
membuat apa-apa keputusan yang lain berhubung dengan rayuan tersebut dan
keputusan Jawatankuasa Induk adalah muktamad.
FASAL 11. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
11.1 Mesyuarat Agung Tahunan adalah badan yang tertinggi dan menyeluruh
bagi Kelab ini berdasarkan kepada objektif dan matlamatnya.
11.2 Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat dari tarikh
31 Mac tiap-tiap tahun pada tarikh dan tempat yang akan ditetapkan oleh
Jawatankuasa Induk. Sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari notis,
hendaklah diberikan secara bertulis oleh Setiausaha kepada semua ahli
kelab. Notis itu hendaklah disertakan dengan agenda mesyuarat
bersama-sama dengan semua salinan dokumen yang dinyatakan dalam agenda
tersebut.
11.3 Korum Mesyuarat Agung tahunan hendaklah dihadiri oleh tidak kurang
satu pertiga (1/3) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi.
Sekiranya Korum tidak mencukupi selepas satu (1) jam dari masa yang
ditetapkan, maka mesyuarat itu hendaklah ditunda kepada tarikh baru
dalam tempoh tiga puluh (30) hari. Sekiranya Korum masih lagi tidak
mencukupi pada tarikh baru mesyuarat itu, maka ahli-ahli yang hadir
bolehlah meneruskan mesyuarat seperti yang telah ditetapkan.
11.4 Setiausaha hendaklah menghantar kepada semua ahli dan Pesuruhjaya
Sukan salinan Penyata Tahunan tiap-tiap mesyuarat Agung Tahunan dalam
tempoh tiga puluh (30) hari setelah selesai mesyuarat itu.
FASAL 12. TUGAS MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
12.1 AGENDA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
Mesyuarat Agung Tahunan mestilah mengandungi antara agenda-agenda
berikut.
i. menerima dan mengesahkan minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas.
ii. menerima dan meluluskan Laporan Jawatankuasa berkenaan kegiatan
Kelab sepanjang tahun lalu.
iii. menerima dan meluluskan laporan Bendahari dan Penyata Kewangan yang
telah diaudit bagi tahun yang lalu.
iv. menguruskan hal-hal lain yang dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung
Tahunan ; dan
v. memilih Jawatankuasa Induk yang baru mengikut fasal 14.1 Perlembagaan
ini dan melantik dua (2) orang juruaudit mengikut fasal 2.1 Perlembagaan
ini setiap dua (2) tahun sekali.
FASAL 13. MESYUARAT AGUNG KHAS
13.1 Mesyuarat Agung Khas bagi Kelab ini boleh diadakan:
i. bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Induk atau dengan kehendak
Pengerusi ; atau
ii. atas permintaan secara bertulis oleh tidak kurang daripada separuh
(1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan
tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya.
13.2 Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan
pada satu tarikh dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan
permintaan mesyuarat.
13.3 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah
diedarkan kepada semua ahli-ahli oleh Setiausaha sekurang-kurangnya
empat belas (14) hari sebelum tarikh yamg ditetapkan untuk mesyuarat.
13.4 Korum Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung
Khas tetapi dengan syarat jika Korum tidak mencukupi selepas setengah
jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat itu, maka mesyuarat
itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya enam (6) bulan daripada
tarikh ini Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan
yang sama tidak bolah diadakan.
FASAL 14. JAWATANKUASA INDUK
14.1 Jawatankuasa Induk Kelab hendaklah terdiri daripada :-
i. seorang (1) Pengerusi;
ii. seorang (1) Timbalan Pengerusi;
iii. dua (2) orang Naib Pengerusi; dan
iv. lima (5) orang Ahli Jawatankuasa
14.2 Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari adalah dilantik oleh
Pengerusi dengan persetujuan Jawatankuasa Induk dalam mesyuarat pertama
Jawatankuasa Induk selepas Mesyuarat Agung Tahunan tetapi ketiga-tiga
mereka tidak mempunyai hak mengundi dan diundi.
14.3 Pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa Induk dan
Jawatankuasa-Jawatankuasa yang lain hendaklah:-
i. berumur lapan belas (18) tahun ke atas;
ii. bukan seorang yang muflis
iii. tidak pernah dikenakan tindakan disiplin oleh mana-mana badan sukan
dalam tempoh lima (5) tahun yang lalu;
iv. tidak disabitkan kesalahan jenayah dalam tempoh lima (5) tahun yang
lalu; dan
v. sempurna akal.
14.4 Mana-mana pemegang jawatan yang didakwa di Mahkamah atas pertuduhan
jenayah hendaklah meletakkan jawatannya serta-merta.
FASAL 15. TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA INDUK
15.1 Melantik Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa.
15.2 Menguatkuasa dasar-dasar dan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan atau
Khas.
15.3 Mengurus dan mentadbir Kelab dan menjalankan program-program Kelab.
15.4 Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan
program-program yang diluluskan.
15.5 Meluluskan peraturan-peraturan baru atau yang dipinda untuk dibahas
dalam Mesyuarat Agung Tahunan Khas.
15.6 Menimbang rayuan keputusan Jawatankuasa Tatatertib bagi ahli-ahli
Kelab.
15.7 Membuat lantikan dan pemecatan kakitangan pengurusan yang bergaji.
15.8 Menimbang permohonan menjadi ahli kelab.
FASAL 16. JAWATANKUASA-JAWATANKUASA
16.1 Jawatankuasa Kewangan;
16.2 Jawatankuasa Pembagunan;
16.3 Jawatankuasa Teknikal;
16.4 Jawatankuasa Pemilihan;
16.5 Jawatankuasa Pertandingan; dan
16.6 Jawatankuasa Tatatertib.
FASAL 17. TUGAS AHLI JAWATANKUASA INDUK
17.1 Pengerusi
Pengerusi dalam jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi dalam semua
mesyuarat Jawatankuasa Induk dan bertanggungjawab atas kesempurnaan
perjalanan semua mesyuarat serta disiplin ahli-ahlinya.
17.2 Timbalan Pengerusi
Timbalan Pengerusi hendaklah membantu Pengerusi melaksanakan
tanggungjawab menguruskan pentadbiran Kelab. Dia hendaklah memangku dan
melaksanakan tanggungjawab Pengerusi semasa ketiadaan Pengerusi.
17.3 Naib Pengerusi
Naib Pengerusi hendaklah membantu Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dalam
menguruskan pentadbiran Kelab. Semasa ketiadaan Pengerusi dan Timbalan
Pengerusi, naib Pengerusi yang kanan hendaklah memangku jawatan tersebut.
17.4 Setiausaha
Setiausaha bertanggungjawab dalam segala urusan pentadbiran Kelab
mengikut Perlembagaan dan arahan-arahan Jawatankuasa Induk. Beliau juga
bertanggungjawab mengenai urusan surat menyurat dan menyimpan buku
daftar ahli yang sah. Dia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat.
Setiausaha hendaklah hadir di dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas
Mesyuarat Agung Tahunan menghantar penyata-penyata tahunan serta
dokumen-dokumen yang perlu kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagaimana
yang dikehendaki di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
17.5 Bendahari
Bendahari hendaklah membuat kutipan yuran pendaftaran dan keahlian,
menyimpan semua rekod dan buku kira-kira. Beliau juga bertanggungjawab
memastikan ketepatan butiran di dalam semua rekod dan buku kira-kira.
17.6 Ahli Jawatankuasa
Ahli Jawatankuasa hendaklah mempengerusikan Jawatankuasa-jawatankuasa
yang ditubuhkan di bawah fasal 16 dan menjalankan tugas seperti yang
diarahkan oleh Pengerusi.
17.6.1 Tugas Pengerusi Jawatankuasa
i. Jawatankuasa Kewangan
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Kewangan dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
Jawatankuasa ini ialah untuk mencari sumber pendapatan Kelab seperti
tajaan, bantuan dari kerajaan, derma dan cara-cara lain yang ash dari
segi undang-undang Kelab dan undang-undang negara.
ii. Jawatankuasa Pembangunan
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Pembangunan dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
Jawatankuasa ini ialah untuk menganjurkan program-program pembangunan
dan latihan serta termasuk pembangunan pegawai dan jurulatih.
iii. Jawatankuasa Teknikal
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Teknikal dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
Jawatankuasa ini ialah untuk menyemak, menyelaraskan dan menguatkuasakan
kaedah-kaedah dan peraturan sukan.
iv. Jawatankuasa Pemilihan
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Pemilihan dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
Jawatankuasa ini ialah untuk mengenal pasti pemain-pemain untuk
diperakukan kepada Jawatankuasa Induk bagi mewakili Kelab untuk PELBAGAI
sukan dalam mana-mana pertandingan.
v. Jawatankuasa Pertandingan
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Pertandingan dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
Jawatankuasa ini ialah mengelolakan pertandingan-pertandingan di
peringkat Kelab.
vi. Jawatankuasa Tatatertib
Pengerusi Jawatankuasa ini hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat
Jawatankuasa Tatatertib dan melantik ahli jawatankuasanya. Tugas utama
jawatankuasa ini ialah untuk memutuskan kes-kes berhubung salah laku
ahli dan menjatuhkan hukuman terhadap ahli berkenaan.
FASAL 18. MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK
18.1 Jawatankuasa Induk hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali
di dalam masa tiga (3) bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah
diberikan kepada ahli-ahli tujuh (7) hari terlebih dahulu. Pengerusi
dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang Ahli
Jawatankuasa Induk boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat
Jawatankuasa Induk pada bila-bila masa.
18.2 Sekurang-kurangnya lima (5) orang daripada Ahli Jawatankuasa Induk
hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan Korum
mesyuarat.
FASAL 19. KEWANGAN
19.1 Sumber kewangan Kelab boleh diperolehi melalui:-
i. yuran pendaftaran dan yuran tahunan ahli;
ii. derma dan tajaan;
iii. bantuan dari kerajaan atau badan-badan berkanun;
iv. hasil-hasil perniagaan Kelab; dan
v. sumber-sumber lain yang dibenarkan oleh undang-undang negara.
19.2 Pendapatan Kelab yang diperolehi hendaklah digunakan bagi tujuan
mencapai objektif dan matlamat Kelab dan ahli-ahlinya seperti yang
disebut dalam Perlembagaan ini.
19.3 Semua cek Kelab hendaklah ditandatangani oleh Bendahari dan
Pengerusi atau Setiausaha.
19.4 Perbelanjaan yang kurang daripada RM500.00 bagi sesuatu masa boleh
diluluskan oleh Bendahari bersama Pengerusi atau Setiausaha.
19.5 Perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 bagi sesuatu masa tidak
boleh dibayar tanpa kelulusan Jawatankuasa Induk.
19.6 Bendahari boleh menyimpan wang runcit tunai tidak melebihi daripada
RM100.00 dalam sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu
mestilah dimasukkan ke dalam akaun Kelab.
19.7 Penyata wang yang diterima dan dibelanjakan beserta Lembaran
Imbangan bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa
oleh Juruaudit mengikut Perlembagaan dengan seberapa segera setelah
tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang diaudit hendaklah
dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan berikutnya dan
salinannya hendaklah diedarkan untuk maklumat ahli-ahli Kelab.
19.8 Tahun kewangan Kelab ini ialah dari 1 Januari hingga 31 Disember
pada tiap-tiap tahun.
FASAL 20. JURUAUDIT
20.1 Dua (2) orang yang bukan menjadi Ahli Jawatankuasa Induk boleh
dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Mereka akan
memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula. Tugas
Juruaudit ialah membuat pemeriksaan terhadap penyata kewangan Kelab dan
membuat laporan dan pengesahan penyata-penyata yang berkaitan dengan
kewangan.
20.2 Mesyuarat Agung Tahunan juga boleh melantik Firma Audit yang
bertauliah bagi menjalankan kerja-kerja auditan Kelab sekiranya perlu.
FASAL 21. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
Jawatankuasa Induk boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini.
Jawatankuasa Induk boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak
terkandung di dalam Perlembagaan sekiranya mustahak.
FASAL 22. PERTIKAIAN DALAMAN
Adalah menjadi tugas Jawatankuasa Induk untuk menyelesaikan apa-apa
pertikaian yang timbul di kalangan ahli-ahli Kelab mengikut prosedur
atau peraturan atau kaedah dalaman Kelab.
FASAL 23. PENAUNG / PENASIHAT
23.1 Jawatankuasa Induk boleh juga melantik orang-orang yang layak
menjadi penaung atau penasihat Kelab ini, sekiranya perlu.
23.2 Penaung atau Penasihat tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dan
membuat keputusan bagi pihak Kelab.
FASAL 24. PINDAAN PERLEMBAGAAN
24.1 Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan
keputusan Mesyuarat Agung tahunan atau mesyuarat Agung Khas.
24.2 Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan kepada
Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam
masa tiga puluh (30) hari dari tarikh keputusan mesyuarat yang
memutuskan perihal perubahan atau pindaaan tersebut. Perubahan atau
pindaan kepada Perlembagaan ini tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak
mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
FASAL 25. LARANGAN
25.1 Segala bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti yang bertentangan
dengan Undang-undang Malaysia adalah dilarang dilakukan dalam mana-mana
premis Kelab.
25.2 Kelab tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga
mengganggu perniagaan atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan
sekerja seperti yang diterangkan ke dalam Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.
25.3 Kelab ini tidak boleh menjalankan aktiviti loteri sama ada
dikhaskan kepada ahli-ahli Kelab atau tidak, atas nama Kelab atau
pemegang-pemegang jawatan tanpa kelulusan daripada Mesyuarat Agung
Tahunan dan pihak berkuasa.
25.4 Kelab tidak boleh terlibat dalam mana-mana kegiatan politik atau
parti politik, atau bergabung atau mengadakan hubungan dengan apa jua
parti politik dan menggunakan nama Kelab dalam apa jua isu-isu politik.
FASAL 26. PEMBUBARAN
26.1 Kelab ini boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung Khas dengan
majoriti oleh dua pertiga (2/3) daripada ahli Kelab.
26.2 Sekiranya Kelab ini hendak dibubarkan secara yang disebut di atas,
maka dengan hutang dan tanggungan Kelab yang sah mengikut undang-undang
hendaklah dijelaskan dan baki wang atau harta benda (aset) yang tinggal
hendaklah diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya Malaysia.
26.4 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan
kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia di dalam tempoh empat belas (14) hari
dari tarikh pembubaran itu. |